Penulis: Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa
Mursyid Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia
Allah Taala telah berfirman dalam Surah As-Saff ayat 8:
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun orang-orang kafir membencinya.”
Jihad Sebagai Kefarduan dalam Islam
Sebagaimana diketahui, Jihad merupakan salah satu daripada kefarduan/ketetapan yang ada di dalam pengantar syariat Islam. Setiap disiplin buku fiqah Islam tanpa mengira mazhab telah menulis bab berasingan yang panjang dan terperinci mengenainya. Bab ini diajar di mana saja tempat adanya pengajian Islam dan feqah Islam.
Usaha Menghapuskan Konsep Jihad dari Islam
Insiden 11 September 2001 yang dirancang secara licik telah dijadikan titik poin bagi tindakan besar yang dilaksanakan oleh Amerika untuk menyerang Afghanistan, Iraq dan mana-mana negara yang dicop sebagai sarang pengganas. Laungan “memerangi keganasan” dibuat sebagai justifikasi untuk Amerika melaksanakan tindakan besar ke atas dunia Islam.
Sebagaimana yang dibongkarkan oleh Almarhum Syeikh Doktor Solah Abdul Fattah Al Khalidi di dalam tulisannya “Antara Islam Amerika Dan Islam Rabbani”, telah berlaku konspirasi licik kuasa besar musuh dunia Islam untuk menghapuskan Islam secara halus – menjadikan Islam sebagai agama yang hanya ada nama, kulit dan jasad tetapi ruh dan isinya dibuang keluar.
Amerika Syarikat, selepas insiden 11 September, bukan sahaja melancarkan serangan ke atas Taliban Afghanistan tetapi juga mencampuri sistem-sistem pendidikan negara-negara Arab dan umat Islam dengan arahan agar tidak mengajar subjek jihad sebagai sukatan pengajian.
Hampir sebahagian besar pemimpin dunia Islam tunduk kepada kehendak Amerika yang memperkenalkan model Islam liberal yang tiada di dalamnya syariat-syariat tertentu termasuklah fiqah jihad itu sendiri. Asas yang diperkenalkan ialah kedamaian, kesaksamaan gender, hak asasi, keadilan, kebebasan dan lain-lain slogan manis tapi di sebaliknya terdapat agenda jahat.
Kebangkitan Jihad di Palestin
Umat Islam di Palestin, setelah 75 tahun ditindas, dinoda dan dihancurkan kehidupan mereka oleh penakluk Zionis Yahudi dan setelah kependudukan Zionis di atas bumi Palestin mula dinormalisasikan oleh pemimpin-pemimpin Arab sendiri melalui siri-siri perjanjian yang hina, tiada pilihan bagi golongan mustadh’afin ini melainkan menghidupkan cahaya jihad yang diajar oleh Rasulullah SAW dan menjadikan asas jihad mereka untuk membebaskan Masjidil Aqsa sebagai tanah suci umat Islam.
Siri peperangan jihad bermula dengan intifadhah Palestin yang menggoncang kuasa Zionis dan Amerika. Namun, kita juga menyaksikan pengkhianatan pemimpin dunia Islam yang bukan sekadar memeterai perjanjian, bahkan Donald Trump menawarkan produk normalisasi Arab-Israel dalam “Deal of Century”.
Contoh senario “ummah ghusa ussail” iaitu “ummah bagai buih di lautan” di kalangan pemimpin dunia Islam ialah ketika seorang pemimpin yang baru menjawat jawatan melalui proses penggulingan kuasa telah membuat akuan di PBB bahawa tugasnya adalah untuk menjaga keselamatan negara Israel, sementara beberapa pemimpin Arab terus menandatangani persetujuan normalisasi tajaan Donald Trump.
Lebih menyedihkan lagi, di saat kemuncak perjuangan jihad umat Gaza mempertahankan diri dari serangan Israel dan sekutunya, ada dari kalangan pemimpin Arab yang menjadikan pangkalan udara mereka sebagai tapak pendaratan tentera Amerika untuk menyerang Gaza. Terbaru, ada yang menghantar jet perang untuk turut membunuh umat Islam di Gaza.
Fatwa Jihad dan Perdebatan
Dalam keadaan cemas seperti ini, Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada 4 April lalu telah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang kefarduan jihad ke atas sesiapa sahaja yang mampu untuk membantu saudara Islam di Gaza dan menghentikan pencerobohan Zionis.
Namun, Dar Ifta’ Mesir (pusat Fatwa negara Mesir) telah mengeluarkan kenyataan bertulis pada 8 April dengan beberapa butiran yang membantah seruan tersebut, menyatakan bahawa jihad memerlukan syarat-syarat tertentu dan keputusan dari pihak berkuasa negara, dan perlunya mengambil kira keadaan semasa.
Menanggapi kenyataan Dar Ifta’, Dr. Siraj Mustafa telah membuat komen yang mengingatkan kepada ayat-ayat Al-Quran berkaitan dengan jihad dan perjuangan. Beliau menyebutkan beberapa ayat penting:
- Ayat yang berkaitan dengan Talut dan Jalut di mana sebahagian orang berkata: “Tidak ada kekuatan bagi kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya” (Al-Baqarah: 249).
- Ayat tentang kaumnya Nabi Musa yang berkata: “Sesungguhnya di negeri itu ada kaum yang sangat kuat” (Al-Maidah: 22).
- Ayat tentang orang-orang yang beralasan kepada Nabi Muhammad SAW, “Sesungguhnya rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga)” (Al-Ahzab: 13).
- Ayat tentang mereka yang berkata, “Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini” (At-Taubah: 81).
- Ayat tentang orang yang meminta izin tidak berperang, “Izinkanlah aku (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan aku terjerumus ke dalam fitnah” (At-Taubah: 49).
Beliau juga menyebutkan jawapan Al-Quran terhadap alasan-alasan ini:
- “Berapa banyak golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah” (Al-Baqarah: 249).
- Perkataan orang-orang yang beriman dari kaum Nabi Musa: “Masuklah kamu melalui pintu gerbang itu, maka apabila kamu memasukinya niscaya kamu akan menang” (Al-Maidah: 23).
- Tentang orang-orang munafik: “Mereka tidak menghendaki melainkan melarikan diri” (Al-Ahzab: 13).
- Tentang orang yang tidak mahu berperang kerana panas: “Katakanlah (Muhammad), ‘Api neraka Jahannam lebih panas’, jika mereka mengetahui” (At-Taubah: 81).
- Tentang orang yang meminta izin tidak berperang: “Ketahuilah, bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah” (At-Taubah: 49).
Dr. Siraj menegaskan bahawa pemahaman ini tidak difahami oleh mereka yang berhujah dengan “rasional” dan lebih mengutamakan perhitungan duniawi daripada kepercayaan kepada Allah dan janji-Nya.
Syeikh Dr. Ahmad Al Raissouni pula telah menaqalkan soalan yang ditanya kepada Al-Allamah Ibnu Jazi Al-Gharnathi tentang bilakah jihad itu menjadi fardu ain. Beliau menjawab bahawa kefarduan jihad datang dengan tiga keadaan:
- Perintah imam/ketua negara
- Bila musuh mengejutkan umat Islam dengan serangan, mewajibkan mempertahankan negara
- Jihad wajib untuk membebaskan umat Islam yang ditawan oleh musuh
Hari ini, walaupun umat Islam tidak memiliki Khilafah yang menjadi pelindung kepada seluruh umat Islam, sebab kedua dan ketiga yang disebut oleh Ibnu Jazi Al-Gharnathi itu sudah berlaku di Palestin.
Seruan Kepada Umat Islam
Walau apapun perdebatan dan perbincangan yang sedang berlaku seputar kefarduan jihad di Palestin, rakyat Gaza sedang terkepung, air mata dan darah mereka sedang mengalir. Jiwa mereka memanggil, “Di manakah kerajaan-kerajaan Arab? Di manakah pemimpin-pemimpin Arab? Di manakah umat Islam yang berjumlah 2 bilion ini?”
Saya menyeru agar setiap kita melakukan solidariti jihad bersama saudara kita di Palestin, sekurang-kurangnya dengan doa dan munajat.
“BEBASKAN MASJID AL-AQSA, MERDEKAKAN PALESTIN”
#SolidaritiBersamaGaza #CaknaPalestin
Info Lanjut,
📱Hubungi: +601126162010
Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia
🏧Bank Islam: 0301 8010 1229 39