Kota Bharu- Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia hari ini telah selesai mengagihkan Bantuan Pasca Banjir kepada 570 orang pelajar di dua buah sekolah di Pengkalan Kubor dan Tanah Merah. Bantuan alat tulis yang diagihkan telah ditaja oleh tiga NGO utama iaitu Friends of Palestine, Hidayah Education & Charity serta Muslim Professional Japan Association.

Semua pelajar yang dipilih adalah pelajar yang terkesan dengan banjir yang melanda Pantai Timur pada awal Dis 2024. SMU(A) Maheliah dipilih kerana keadaan banjir di kawasan Pengkalan Kubor tahun ini sangat teruk. Sekolah Rendah Ugama Darul Ulum Diniah Tanah Merah juga turut dilanda banjir dan oleh kerana komuniti sekolah sangat prihatin tentang isu Palestin, sekolah ini menjadi pilihan utama untuk ngo Cakna Palestin turun membantu.

Pengetua SMU(A) Maheliah, Ust Mohamad Bin Yusuf menyatakan, beliau kagum dengan sikap rakyat Palestin yang masih peduli dengan keadaan Malaysia walaupun mereka teruk diuji. Terdahulu, Cik Nurul Huda Mamat memaklumkan penyumbang utama projek ini adalah NGO Palestin yang diketuai oleh rakyat Palestin sendiri. Mereka menghulurkan bantuan banjir atas dasar ingatan dan ukhuwwah dengan bertemakan, One Heart, One Nation. Lebih RM 13,000 telah dibelanjakan bagi penyampaian bantuan tersebut.

Pada awal Disember lalu, sebanyak 350 pek makanan kering, beras, sabun dan tuala telah diagihkan sekitar Wakaf Bharu, Rantau Panjang, Pasir Tumboh, Pulau Suri dan Pasir Putih. Semoga sedikit bantuan tanda ingatan ini akan menguatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Palestin. Bebaskan Palestin, Selamatkan Masjidil Aqsa.